RPH - Rancangan Pengajaran Harian. Sebagai guru, persediaan untuk sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas bermula dengan penulisan RPH atau persediaan mengajar sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum mengajar. Seelok-eloknya sehari sebelum. 2011 ini, aku mengajar banyak subjek. Rencam. Jadual hari Selasa yang paling melelahkan. Aku perlu menulis lima RPH. Catatan rekod peribadi tu!
Hari ini, selepas masuk minggu keempat aku sudah dapat menyelesakan diri. Petang tadi, sesudah melepaskan kepenatan (sekarang cepat benar rasa penat), aku mula menulis RPH. Pagi esok (7.20 pagi hingga 7.50 pagi), aku mengajarkan Pendidikan Jasmani bagi Tahun 2 Bijak. Tajuk yang ditetapkan ialah kelenturan. Subtajuk-meleding sokong hadapan dua lutut. Terpaksalah aku buka buku, rujuk Modul PJK. Aku belum mahir mengajarkan PJK. Mungkin kena buat catatan kecil strategi pengajaran untuk rujukan di tengah padang. Nasib baiklah aku berhadapan dengan murid-murid yang masih polos pemikiran mereka.Tidaklah malu sangat!
Pukul 8.50 pagi hingga 9.20 pagi, aku akan mengajarkan Kajian Tempatan di kelas 5 Bijak. Tajuk pelajaran tentang Geografi Fizikal-Bentuk-bentuk Muka Bumi di Malaysia. Tadi aku sudah mengajarkan tajuk ini di kelas 5 Bestari. Jadi, senang sedikit tugasku sebab sudah ada pengalaman. Seronok mengajar murid-murid kelas ini sebab respons mereka agak baik walaupun kelas ranking kedua.
Pukul 9.20 pagi, kena cepat-cepat turun ke kelas Tahun 1 Bijak untuk mengajarkan Dunia Muzik. Minggu lepas, mereka sudah diajarkan lagu "Selamat Pagi" berfokuskan tempo cepat dan tempo lambat. Lagu masih sama tetapi ditambah aktiviti pergerakan asas seperti berjalan dan berlari berdasarkan dinamik, pic, tempo dan bunyi lagu. Kena buka kamus glosari untuk memahami istilah-istilah tersebut. Malam ini, aku kena buat demonstrasi di hadapan cermin untuk mencipta pergerakan berdasarkan lagu. Pehhh. Ala-ala koreografer!
Selepas waktu rehat, jam 10.40 hingga 11.40, sekali lagi berjumpa murid-murid Tahun 1 Bijak. Kali ini mengajarkan Bahasa Melayu pula. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran hari esok merupakan kesinambungan pelajaran hari ini sebab tadi, mereka cuma belajar sekejap saja. Ada demonstrasi Kira Cepat Matematik di Bilik Sains. P&p dimulakan dengan lagu "Ha Ha Ho Ho". Mengajarkan murid-murid Tahun 1 mesti aplikasikan didik hibur untuk p&p yang menyeronokkan. Hmm. Aku pun memang suka menyanyi!
Akhir sekali esok, aku akan masuk kelas Tahun 5 Bestari untuk subjek Kajian Tempatan. Murid-murid kelas ini perlu diberikan aktiviti yang mencabar minda mereka. Tidak boleh gunakan "chalk and talk" (di sekolah ini guru-guru menggunakan pen marker) saja. Esok, aku akan membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan kecil dan suatu tajuk untuk dibincangkan. Contoh: Kepentingan Tanah Tinggi di Malaysia. Akan ada sesi pembentangan. Mesti menarik!
Haa, mencabar atau tidak hari Selasa untuk Cikgu Latifah?
No comments:
Post a Comment