Wednesday, January 26, 2011

DIARI

HARI ini seseorang menghadiahiku sebuah diari.  Sewaktu musim remaja dahulu, aku setia sekali menulis dalam diari. Keasyikan itu terhenti beberapa lama dek kekangan-kekangan tanpa alasan.  Sesekali berkesempatan membaca kembali catatan silam - manis, getir dan pahit berbaur rasa.  Kenangan yang  tidak terlupakan. Ada yang ingin kuusir dari ingatan. Ada yang ingin kupahat selamanya dalam kalbu. Lalu, diari yang kuterima hari ini, harus kutulis rasa yang mana?

Monday, January 24, 2011

RPH

RPH - Rancangan Pengajaran Harian. Sebagai guru, persediaan untuk sesi pembelajaran dan pengajaran       di dalam kelas bermula dengan penulisan RPH atau persediaan mengajar sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum mengajar. Seelok-eloknya sehari sebelum. 2011 ini, aku mengajar banyak subjek. Rencam. Jadual hari Selasa yang paling melelahkan. Aku perlu menulis lima RPH. Catatan rekod peribadi tu!
          Hari ini, selepas masuk minggu keempat aku sudah dapat menyelesakan diri. Petang tadi, sesudah melepaskan kepenatan (sekarang cepat benar rasa penat), aku mula menulis RPH. Pagi esok (7.20 pagi hingga 7.50 pagi), aku mengajarkan Pendidikan Jasmani bagi Tahun 2 Bijak.  Tajuk yang ditetapkan ialah kelenturan. Subtajuk-meleding sokong hadapan dua lutut. Terpaksalah aku buka buku, rujuk Modul PJK. Aku belum mahir mengajarkan PJK. Mungkin kena buat catatan kecil strategi pengajaran untuk rujukan       di tengah padang. Nasib baiklah aku berhadapan dengan murid-murid yang masih polos pemikiran mereka.Tidaklah malu sangat!
         Pukul 8.50 pagi hingga 9.20 pagi, aku akan mengajarkan Kajian Tempatan di kelas 5 Bijak. Tajuk pelajaran tentang Geografi Fizikal-Bentuk-bentuk Muka Bumi di Malaysia. Tadi aku sudah mengajarkan tajuk ini di kelas 5 Bestari. Jadi, senang sedikit tugasku sebab sudah ada pengalaman. Seronok mengajar murid-murid kelas ini sebab respons mereka agak baik walaupun kelas ranking kedua.
        Pukul 9.20 pagi, kena cepat-cepat turun ke kelas Tahun 1 Bijak untuk mengajarkan Dunia Muzik. Minggu lepas, mereka sudah diajarkan lagu "Selamat Pagi" berfokuskan tempo cepat dan tempo lambat. Lagu masih sama tetapi ditambah aktiviti pergerakan asas seperti berjalan dan berlari berdasarkan dinamik, pic, tempo dan bunyi lagu. Kena buka kamus glosari untuk memahami istilah-istilah tersebut. Malam ini, aku kena buat demonstrasi di hadapan cermin untuk mencipta pergerakan berdasarkan lagu. Pehhh. Ala-ala koreografer!
        Selepas waktu rehat, jam 10.40 hingga 11.40, sekali lagi berjumpa murid-murid Tahun 1 Bijak. Kali ini mengajarkan Bahasa Melayu pula. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran hari esok merupakan kesinambungan pelajaran hari ini sebab tadi, mereka cuma belajar sekejap saja. Ada demonstrasi Kira Cepat Matematik di Bilik Sains. P&p dimulakan dengan lagu "Ha Ha Ho Ho". Mengajarkan murid-murid Tahun 1 mesti aplikasikan didik hibur untuk p&p yang menyeronokkan. Hmm. Aku pun memang suka menyanyi!
       Akhir sekali esok, aku akan masuk kelas Tahun 5 Bestari untuk subjek Kajian Tempatan. Murid-murid kelas ini perlu diberikan aktiviti yang mencabar minda mereka. Tidak boleh gunakan "chalk and talk" (di sekolah ini guru-guru menggunakan pen marker) saja. Esok, aku akan membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan kecil dan suatu tajuk untuk dibincangkan. Contoh: Kepentingan Tanah Tinggi                 di Malaysia. Akan ada sesi pembentangan. Mesti menarik!
       Haa, mencabar atau tidak hari Selasa untuk Cikgu Latifah?
   

Thursday, January 6, 2011

KELASKU SYURGAKU

HARI ini menyudahkan proses memasang "skirting" lima buah meja lagi dengan kain ungu gelap dan renda ungu muda. Kemudian, menyapu kelas. Biasalah, rutin tahunanku sebagai guru kelas Tahun 1. Awal-awal tahun, murid-muridku belum betah memegang penyapu. Menyapu lantai (baca: menyapu angin), sampah tidak bergerak, debu-debu tetap di situ. Tidak mengapalah. Mendidik murid-murid ini memerlukan kesabaran. Setiap hari berpesan dan menegur perkara yang sama, mereka masih begitu juga. Mungkin aku perlu membuat sesuatu yang drastik supaya mereka ingat dan tidak mengulang kesilapan yang sama. Tetapi, apa ya?

Wednesday, January 5, 2011

SANTAI

HARI ini aku lebih santai ke sekolah. Pertengahan minggu, bagai sudah melepasi saat-saat kritikal. Bilik darjah sudah hampir kondusif. Tidak lagi menyakitkan mata memandang. Masih banyak yang perlu ditambah sebenarnya, tetapi yang asas-asas sudah ada. Banyak juga lagi kerja pengurusan yang belum diselesaikan, tetapi aku memilih untuk "bertenang" sekejap. Bimbang jika terlalu memikirkan kerja, stres pula jadinya. Perlahan-lahan, insya-Allah.

Tuesday, January 4, 2011

CABARAN BARU 2011

TAHUN 2011, aku mengajarkan dua subjek baru iaitu Pendidikan Jasmani & Kesihatan dan Kajian Tempatan. Huh, pening juga semalaman memikirkan Rancangan Pelajaran Harian. Kemudian, pagi-pagi tadi aku mula mengajarkan PJ. Aku sebenarnya bukanlah jenis suka sangat bersukan. Bersenam pun malas. Kekalutan fikiran berkurangan apabila berhadapan dengan anak-anak murid yang tampak senang menerima guru mereka ini. Sempat juga aku menjeling-jeling rakan setugas di padang melihat cara pengajarannya. Bolehlah. Nampaknya aku kena banyak belajar lagi. Rasa segar juga menghirup udara  di padang hijau pagi-pagi hari. Hari ini aku mengajarkan cara-cara menjaga keselamatan diri semasa bermain/ manipulasi alatan. Lambung-lambung bola, hantaran bola kepada rakan. Sekejap saja 30 minit berlalu. Hari Khamis ada PJ lagi.
          Aku juga masuk kelas Tahun 5 Bijak dan Tahun 5 Bestari untuk mengajarkan Kajian Tempatan. Susah juga hendak menyesuaikan diri dengan murid-murd Tahap 2. Maklumlah, aku sudah terbiasa mengajar murid-murid Tahap 1. Cara aku melayan mereka agak keanak-anakan. Mungkin tidak sesuai pula hendak diaplikasikan cara tersebut terhadap mereka. Tetapi, aku cuba menjadi diri sendiri. Alhamdulillah, nampaknya mereka juga menerima aku seadanya. Asalkan tidak ada murid yang tertidur kebosanan semasa aku mengajar, sudahlah!

Monday, January 3, 2011

SEKOLAH DIBUKA SEMULA!

Aku melakukan rutin tahunan sebagai guru Tahun Satu. Alhamdulillah, murid-murid Tahun 1 tahun ini tidak ada yang "cengeng".  Semuanya nampak bersemangat dan bersedia menempuh alam baru. Aku pula semakin bersemangat. Maklumlah, kelas beransur-ansur ceria. Semoga murid-muridku dapat menimba ilmu dalam suasana yang kondusif.